BUSHIDOU - Kematian dan Ilmu Pengetahuan

Perhatian utama bagi seorang Bushi atau pahlawan ialah sentiasa memperingati MATI tanpa mengira waktu dan keadaan. Selagi ingatan itu berada di dalam fikirannya, dia secara tidak langsung akan memenuhi segala bentuk kesetiaan dan tugas kekeluargaannya, di samping menjauhi segala kejahatan yang boleh mendatangkan malapetaka. Kesihatan mental dan fizikalnya akan lebih terjaga. Keperibadiannya juga akan menjadi lebih tinggi dan menyerlah. Hidup seorang insan seumpama embun dipagi hari, sesuatu yang begitu rapuh. Apatah lagi hidup seorang pahlawan yang lebih banyak terdedah kepada kematian berbanding dengan insan lain. Setiapkali dia menerima amanah dan arahan daripada ketuanya atau melihat kedua ibubapa serta keluarganya, dia akan beranggapan itulah kali terakhir baginya – dan dia tidak boleh gagal dalam melaksanakan tugas serta amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya itu. Dia akan menjaga nama baik ketua dan keluarganya sebaik mungkin melalui tingkah lakunya. Dia akan memelihara percakapan, pendengaran dan penglihatannya dari perkara-perkara yang tidak baik. Dia tidak akan menjejak kakinya ke tempat-tempat yang boleh mengundang becana atau melakukan sesuatu yang mendatangkan kesusahan. Kealpaan terhadap kematian, akan melalaikan seseorang, dan kelalaiannya itu membawa seribu satu malapetaka dan kesusahan yang bukan hanya melibatkan dirinya sahaja tetapi insan yang lain juga. Sebaliknya dengan sentiasa mengingati mati, seseorang itu akan menjadi insan yang lebih bertanggungjawab terhadap dirinya, keluarganya, ketuanya, malahan agama, bangsa dan negaranya. Darjat golongan Bushi atau pahlawan mengatasi tiga kasta yang lain iaitu petani, tukang dan pedagang. Sebagai seorang pahlawan yang juga pentadbir professional, seseorang Bushi harus sentiasa bersedia menimba ilmu dan menambah ilmu pengetahuannya baik dalam perkara-perkara asas mahupun juga ilmu peperangan dan pentadbiran. Ia adalah suatu proses berterusan atau lebih dikenali sebagai pembelajaran sepanjang hayat. Oleh yang demikian, jika ada kelapangan, seseorang Bushi akan mengisi masanya itu dengan berlatih dan mempelajari perkara-perkara baru. Tanpa kemajuan diri, seseorang Bushi akan mudah kalah baik di medan peperangan mahupun juga dalam pentabirannya.
Insya-Allah, pada minggu hadapan saya akan membicarakan topic Tugas Kekeluargaan dan Peperangan… wassalam.
BUSHIDOU - Ulasan Sepintas Lalu
Masih segar di ingatan, kata-kata arwah bapa angkat yang juga bekas mertua saya, Prof. Dr. Eichi Kiyooka, seorang Jepun Muslim, setelah ditanya tentang masyarakat Jepun. Katanya “Untuk mengenali bangsa Jepun, kamu harus memahami fikiran mereka, dan untuk memahami fikiran mereka, kamu harus belajar tentang Bushidou, Zen dan Gorin-no-sho.” Bermula dari saat itulah, sebaik sahaja kami selesai menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah dan membaca al-Quran, beliau akan membelek helaian kitab lama berhubung dengan ketiga-tiga ilmu tersebut. Beliau menjelaskan satu persatu kepada saya bermula dari definisi sehinggalah falsafah-falsafah yang terselindung di sebaliknya. Kitab pertama yang diajar oleh beliau kepada saya ialah Bushidou. Namun begitu, untuk menerangkan kepada anda, saya rasa ada baiknya terlebih dahulu saya memberi ulasan sepintas lalu mengikut pemahaman saya tentangnya. Ulasan–ulasan selanjutnya akan saya susuli secara mingguan mengikut topik perbincangan, insya-Allah.
Perkataan Bushidou ditulis dalam tiga huruf iaitu Bu-Shi-Dou, membawa maksud Gaya Hidup Pahlawan (the way of the warrior), yang juga dikenali sebagai Kod Kesatriaan Samurai. Kod ini menggariskan prinsip-prinsip kesetiaan dan kehormatan yang dianuti oleh Bushi, golongan status tertinggi dalam pemerintahan tentera yang memerintah masyarakat feudal Jepun. Bilangan golongan Bushi hanya 5 hingga 6 peratus sahaja daripada jumlah penduduk. Golongan masyarakat ini termasuk Shogun, pembesar-pembesar feudal (daimyo atau feudal lord) dan pengikut-pengikut mereka, iaitu dari pentadbir-pentadbir di peringkat atasan dalam kerajaan Shogun hinggalah tentera berpangkat rendah serta pengawal. Mereka ini amat berbeza daripada tiga golongan masyarakat lain di Jepun, iaitu petani (80%), tukang dan pedagang (14%-15%). Golongan Bushi hidup di atas hasil kutipan cukai daripada ketiga-tiga golongan ini.
Bushidou merupakan sintesis kod yang dipinjamkan daripada tiga sumber utama; iaitu ketahanan yang kental dari segi mental dan fizikal, kesediaan untuk menderita dan menghadapi mati daripada Zen; kecintaan terhadap tanahair daripada Shinto, dan lima etika social daripada Konfusianisme yang menekankan hubungan di antara pengikut dengan tuannya (pengikut harus memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tuannya).
Sebagai pahlawan professional, seorang Samurai semestinya mahir dalam menggunakan pelbagai senjata. Kemahiran ini memerlukan satu latihan minda serta fizikal yang sukar dan berat dalam jangkamasa yang agak panjang. Bushidou menitikberatkan latihan secara berterusan, Zen pula membentuk keperibadian, keyakinan diri dan kawalan dalaman diri seorang Samurai untuk menghadapi suatu pertarungan maut. Manakala Gorin-no-Sho, menggariskan strategi-strategi yang perlu digunakan mengikut situasi yang dihadapi.
Bushidou adalah falsafah yang mengajar erti kesabaran. Contohnya, dalam suatu pertarungan maut, seorang samurai akan bersemuka dengan lawannya dalam jarak yang dekat, dan menunggu dengan penuh kesabaran untuk lawannya itu memulakan pergerakan. Pihak yang lemah tidak akan dapat menahan dirinya untuk membuat pergerakan pertama. Akan tetapi sebaik sahaja dia mula bergerak, pihak lawannya sudahpun melepaskan satu libasan maut. Pertarungan sebegini memerlukan tahap kesabaran dan konsentrasi yang tinggi, iaitu suatu disiplin yang hanya mampu dimiliki oleh seorang Samurai melalui latihan jangkamasa panjang di bawah seliaan seorang guru yang betul-betul mahir. Dari masa ke masa, kod-kod etika yang menekankan kesabaran, ketelitian dan kemajuan diri secara berterusan ini telah merebak ke semua lapisan masyarakat Jepun dan menjadi sebahagian dari etos social mereka.
Contoh kesabaran seorang Samurai yang terlatih dalam Bushidou masih dapat ditemui di zaman Jepun moden. Saya pernah terbaca catatan pengalaman seorang ahli perniagaan dari Barat yang telah ke Jepun untuk membuat perundingan sebuah kontrak. Sebaik sahaja tiba di ibu pejabat sebuah syarikat Jepun, ahli perniagaan itu diiring ke bilik perundingan di mana beliau telah ditawarkan secawan teh hijau dan duduk setentang dengan pakar runding mereka. Walaupun teh telahpun dihidangkan, pakar runding Jepun itu hanya duduk tanpa sepatah kata. Dia menunggu ahli perniagaan tersebut memulakan langkah awalnya dalam rundingan itu. Ahli perniagaan Barat yang kurang arif dengan teknik pakar runding Jepun itu berasa tidak selesa lalu terus membuka rundingan. Dengan teknik ini, pakar runding Jepun mendapat kelebihan untuk mengetahui keadaan pihak lawan tanpa mendedahkan kedudukan mereka. Akhirnya, hasil rundingan itu lebih memihak kepada pihak syarikat Jepun…
Insya-Allah, pada minggu hadapan saya akan membuat ulasan selanjutnya yang berkisar tentang topik KEMATIAN dan ILMU PENGETAHUAN di dalam Bushidou.
KEWUJUDAN TUHAN
Yang hidup hanya datang dari yang hidup. Dan setiap jenis yang hidup melahirkan sesuatu yang sejenis dengannya. Pendeknya hidup itu muncul dari sesuatu yang hidup sebelumnya. Hidup tidak muncul dari benda yang mati. Secara rasional tiada siapa yang dapat menafikan adanya Tuhan kecuali ia dapat membuktikan kemungkinan wujudnya asal hidup ini tanpa Tuhan…
PEMILIHAN TEMA - Kenapa Angin Semilir?
Anda tentunya tertanya-tanya mengapa saya memilih “Angin Semilir” sebagai tema blog ini. Baiklah, izinkan saya memberi penjelasan…
Menurut Kamus Dewan, definisi “angin semilir” ialah angin yang bertiup lemah-lembut. Namun begitu, bukan lah sifat angin ini yang telah menambat hati saya, tetapi kekuatan yang ada di sebalik sifatnya itu. Ada sebuah cerita rekaan yang pernah saya baca dan tidak diketahui siapakah penulisnya; yang secara tidak langsung telah menggambarkan kekuatan yang terselindung di sebalik kelembutan angin semilir. Ceritanya adalah sebagaimana berikut…
Pada suatu hari, Raja Monyet bertengkar dengan Ribut tentang siapakah yang lebih kuat? Kata Ribut “Aku lah yang lebih kuat kerana tiupan ku boleh meranap dan menerbangkan apa saja yang ada di depan ku.”. “Baiklah” jawab Raja Monyet sambil duduk bertenggek di dahan sepohon Ara yang tunjangnya menerjah bumi sedalam puluhan kaki. “Aku cabar kamu wahai Ribut, jika kamu betul-betul kuat, cubalah jatuhkan aku dari singgahsana ku ini!” cabar Raja Monyet yang sudah siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mendengar cabaran itu, tanpa membuang masa Ribut pun menghembus sekuat hati sehingga kehabisan nafas, tetapi tiupannya itu hanya mampu menerbangkan semua dedaun dan reranting kecil sahaja. Apa lagi, Raja Monyet ketawa terbahak-bahak sambil menyindir “Itu sahaja kah kekuatan mu wahai Ribut?”. Raja Monyet terus ketawa. Oleh kerana terlalu malu, Ribut hanya mampu berdiam diri sahaja. Ketawa Raja Monyet itu telah didengari oleh Semilir yang sedang berlalu di situ. Lalu Semilir bertanya “Apakah yang melucukan kamu wahai Raja Monyet?”. Dengan angkuh Raja Monyet itu menjawab “Ribut mengaku dialah yang paling kuat tetapi tidak mampu menjatuhkan aku dari singgahsana ku ini. Tiupannya hanya mampu menerbangkan dedaun dan reranting kecil sahaja… ha… ha… ha…” Raja Monyet itu ketawa lagi. Sejurus mendengar jawapan itu, Semilir bertanya lagi “Adakah boleh aku mencuba?”. Pertanyaan itu menyebabkan Raja Monyet ketawa lebih kuat. “Wahai Semilir, lagikan Ribut tidak dapat menjatuhkan aku apatah lagi kamu yang lemah-lembut ini. Baik lah, jika kamu beriya-iya sangat, silakan!” cabar Raja Monyet yang angkuh itu. Semilir pun terus bertiup lembut. Tiupannya itu menyebabkan mata Raja Monyet menjadi lali dan mengantuk. Raja Monyet itu terus tertidur lalu jatuh tersungkur ke bumi dan mati. Melihatkan kejadian itu Ribut pun berkata “Wahai Semilir, tidak ku sangka kelembutan yang ada pada dirimu dapat melemahkan kekuatan Raja Monyet. Mulai hari ini, aku mengizinkan kamu bertiup mendahului aku.”… begitulah ceritanya.Di samping cerita ini, ada satu perkara lagi yang menarik tentang angin semilir ialah sifat dan kekuatannya itu telah dijadikan asas salah satu strategi dalam menghadapi krisis atau peperangan. Strategi ini dikenali sebagai strategi “pedang tersarung” yang menggariskan taktik-taktik untuk menakluki sesuatu tanpa sebarang kemusnahan.
Saya rasa penerangan di atas sudah cukup untuk memberi gambaran yang jelas kepada anda tentang pemilihan tema blog ini.
KEBIJAKSANAAN
Orang-orang yang berilmu kadangkala tidak cekap mentadbirkan harta benda dan melaksanakan tugas-tugas jawatannya, tetapi orang yang bijaksana dapat mentadbir dan melaksanakan sesuatu dengan betul dan licin selama-lamanya. Lebih baik Allah mengurniakan kita kebijaksanaan dari mengurniakan kita pengetahuan yang banyak tanpa kebijaksanaan...
KISAH SEORANG PENGEMIS
Pada suatu hari seorang pengemis separuh umur dan gagah datang ke sebuah rumah. Tuan rumah itu pergi mendapatkannya dan bertanya,
Tuan Rumah: “Pak cik ada isteri”.
Si Pengemis: “Ada,”
Tuan Rumah: “Pak cik ada anak?”.
Si Pengemis: “Ada,”
Tuan Rumah: “Pak cik ada tanah?”
Si Pengemis: “Ada, tapi sempit sahaja, tak cukup makan.
”Tuan Rumah: “Pak cik boleh menyangkul?”
Si Pengemis: “Boleh.”
Tuan Rumah: “Tapi kenapa Pak cik tak buat kerja?”
(Pengemis itu terdiam sejenak lalu menjawab…)
Si Pengemis: “Minta sedekah pun kerja juga bukan?”
RESIPI ROTI CAPATI
Bahan-bahan:
3 cawan penuh tepung capati (tepung atta)
1 sudu teh garam atau secukup rasa
1 sudu besar ghee (minyak sapi)
1 cawan penuh air suam
Cara-cara:
Masukkan tepung ke dalam mangkuk adunan, taburkan garam dan gaul biar rata. Masukkan minyak sapi dan ramas tepung tadi biar serata. Masukkan kesemua air suam dan uli adunan sehingga menjadi doh (uli selama 10 minit) Kemudian bahagikan doh tadi dan gentel ia menjadi bebola sebesar bola golf. Masukkan ia ke dalam bekas yang lain dan tutup dengan plastik. Biarkan ia kembang selama sekurang-kurangnya 1 jam (tetapi adalah lebih baik jika dibiarkan selama 4 hingga 6 jam kerana roti capati akan menjadi lebih lembut). Taburkan sedikit tepung di tempat canaian kemudian canai satu per satu bebola doh tadi menjadi bulat dan nipis (senipis syiling 50 sen). Panaskan ceper (kuali leper – griddle/frying pan) sehingga betul-betul panas dan goreng (tanpa minyak) satu per satu doh yang telah dicanai selama 1 minit. Kemudian balikkan ia dan biarkan selama 1 hingga 2 minit. Apabila sudah masak, hidangkan ia bersama kari ikan atau ayam atau daging atau kambing.
SEKADAR INGATAN
Fikiran kita umpama sebilah pedang yang adakalanya tidak mengenal mangsa...